Bagaimana Kami Menggunakan Maklumat Anda

Perkhidmatan kami dibuat supaya ia ringkas dan mudah digunakan, tetapi banyak usaha yang dilakukan untuk memastikan ia terus berjalan dan lancar! Salah satu elemen penting yang menguatkan produk kami ialah maklumat yang dikongsi atau diniatkan - jadi, berikut adalah panduan ringkas tentang maklumat yang kami gunakan, dan cara kami menggunakannya!

Membangunkan Ciri Baharu & Menambah Baik Ciri Sedia Ada

Perhentian pertama: pembangunan. Pasukan-pasukan kami bekerjasama dengan rapat untuk membangunkan ciri-ciri baharu yang seronok dan imaginatif. Anda sebenarnya membantu pasukan pembangunan kami setiap hari, hanya dengan menggunakan produk kami!
Contohnya, kami melihat kepada Penapis dan Lensa yang paling kerap digunakan oleh Snapchatter untuk menentukan apa yang harus kami cipta seterusnya. Kami membangunkan kebanyakan ciri-ciri kami dengan menggunakan pendekatan yang sama, supaya kami boleh kekal cemerlang dan membina benda-benda baharu yang anda suka!
Kami juga sentiasa mencari jalan untuk menambah baik perkhidmatan kami. Ada kalanya, kami akan menukar cara sesuatu ciri berfungsi ataupun penampilan aplikasi. Maklumat anda boleh membantu kami menentukan jenis penambahbaikan yang diperlukan. Misalnya, Snapchat boleh meneka siapa rakan-rakan baik anda, berdasarkan dengan siapa yang anda paling kerap bersembang bersama — supaya aplikasi itu boleh menempatkan mereka di bahagian atas skrin Hantar Kepada anda untuk lagi memudahkan penghantaran Snap kepada mereka. Kajian data daripada Snapchatter yang ramai boleh membantu kami melihat tren dalam cara orang ramai menggunakan aplikasi ini. Ini memberi inspirasi kepada kami untuk menambahbaik Snapchat dengan perubahan yang besar, pada skala yang lebih besar!

Memastikan Segalanya Berjalan Lancar

Seterusnya: operasi. Produk kami berfungsi dengan berkongsi beberapa maklumat atas permintaan anda — misalnya Snap yang anda ingin hantar kepada seorang rakan ataupun tambah ke Tumpuan Kita. Ciri-ciri spesifik, seperti Peta Snap, boleh menggunakan data lokasi anda untuk membantu anda menerokai Peta dan berkongsi lokasi dengan rakan-rakan. Anda juga boleh menggunakan KodSnap untuk berkongsi tapak web, Lensa, dan rakan-rakan bersama Snapchatter yang lain.
Untuk memastikan semuanya berjalan lancar, kami juga memantau cara produk dan ciri-ciri kami digunakan, menganalisis tren, dan mendengar maklum balas anda untuk membantu memperbaikinya setiap hari! Sebagai contoh, kami mungkin menganalisis berapa lama anda berada dalam aplikasi, Penapis atau Lensa yang paling anda gunakan dan kandungan Tumpuan yang anda suka tonton. Ini membantu kami untuk lebih memahami apa yang sesuai dengan komuniti kami — dan memberitahu para penerbit tentang kandungan jenis apa yang paling dinikmati ramai!
Kami juga menggunakan sesetengah daripada maklumat anda untuk membantu mengemaskinikan produk kami. Sebagai sebuah syarikat teknologi, adalah penting untuk memastikan bahawa kamera kami boleh merakam dalam kualiti tinggi, merentas seberapa banyak peranti berbeza yang mungkin. Oleh itu, jika anda mendapat sebuah telefon baharu pada hari pelancarannya, kami mungkin akan menilai prestasi alat peranti anda untuk memastikan supaya kami mengoptimumkan Snapchat untuk peranti tersebut!
Begitu juga, apabila kami melancarkan versi baharu aplikasi ini, kami perlu memastikan bahawa ia berfungsi dengan baik pada pelbagai sistem operasi dan peranti yang berbeza. Lebih daripada satu bilion Snap dicipta dan dikongsikan pada setiap hari, oleh itu, kami juga menganalisis jumlah Snap untuk memastikan agar kami boleh menghantar kesemuanya dengan cepat dan selamat.

Mempersonalisasikan Pengalaman Anda & Memberi Konteks Pada Sesuatu Perkara

Tiada dua orang yang sama, jadi kami menggunakan sesetengah maklumat anda untuk menyesuaikan pengalaman Snapchat khusus untuk anda! Sebagai contoh, kami peribadikan kandungan Tumpuan yang anda lihat — jadi jika anda tunjukkan minat dalam sukan, anda mungkin melihat lebih banyak kandungan berkaitan sukan. Atau, jika anda kerap siarkan Snap anak anjing anda ke Cerita Saya, kami mungkin dapat meneka anda suka anjing dan cuba tunjukkan kepada anda kandungan yang berkaitan dengan anda!
Kami juga dapat mempersonalisasikan skrin Carian untuk mengetengahkan kandungan yang mungkin anda minati dan memberi gambaran keseluruhan Memori anda yang disesuaikan secara peribadi. Sekiranya kami mengetahui bahawa ia adalah hari lahir anda, kami boleh memberi lensa khas untuk anda dan rakan anda meraikannya! Kami juga boleh mempersonalisasikan iklan, Carian, Penapis, Snap Map dan Lensa untuk menjadikan pengalaman Snapchat anda benar-benar unik.
Kami juga menggunakan maklumat untuk memberi Snap anda konteks, berdasarkan lokasi anda berada dan perkara yang berlaku di sekeliling anda! Ini termasuk pelekat yang dapat menunjukkan waktu, lokasi, cuaca, atau Lensa dan Penapis khas yang dibuat untuk acara yang anda hadiri. Kami turut menggunakan maklumat ini untuk menyusun Memori anda, supaya maklumat tersebut tersusun untuk anda berdasarkan masa dan tempat ia dirakam.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara kami peribadikan pengalaman anda, sila baca di sini.

Memastikan Keselamatan Perkhidmatan Kami

Ia penting kepada kami agar anda sentiasa selamat semasa menggunakan perkhidmatan kami, oleh itu, kami juga menggunakan sebahagian maklumat anda untuk mempertingkatkan aspek ini dalam produk kami! Misalnya, kami menyediakan pengesahan dua faktor untuk mengekalkan keselamatan akaun anda dan boleh menghantar e-mel kepada anda jika kami mendapati sebarang aktiviti yang mencurigakan. Kami juga mengimbas URL yang dihantar pada Snapchat untuk melihat jika halaman web tersebut mungkin berbahaya, dan boleh memberi amaran kepada anda.

Menyediakan Iklan yang Relevan

Kami berpendapat bahawa iklan adalah terbaik apabila relevan—pihak pengiklan lebih cenderung kepadanya dan kami rasa anda juga akan lebih menyukainya. Oleh itu, kami menggunakan sesetengah maklumat yang kami pelajari tentang anda untuk cuba memilih iklan yang betul pada waktu yang betul. Misalnya, jika anda telah mengetik pada beberapa iklan untuk permainan video, kami mungkin akan terus menyiarkan iklan yang berkaitan kepada anda! Namun, kami juga menggunakan maklumat anda untuk mengelakkan daripada menunjukkan iklan yang anda mungkin tidak suka. Contohnya, jika tapak penjualan tiket memaklumkan kami bahawa anda telah membeli tiket untuk sebuah filem — ataupun jika anda telah membelinya melalui Snapchat — kami akan berhenti menunjukkan anda iklan mengenainya. Ketahui lebih lanjut.

Menghubungi Anda

Kadangkala kami akan menghubungi anda untuk memberi anda satu gambaran sekilas ciri-ciri baharu yang akan dilancarkan, promosi dan hal-hal seumpamanya. Contohnya, kami telah menghantar satu Sembang kepada Snapchatters yang ramai untuk memberitahu mereka bahawa Sembang Video Grup telah dilancarkan. Kami melakukan ini terutamanya dalam aplikasi, tetapi kadangkala kami akan menghantar e-mel, mesej teks atau berkomunikasi dengan anda melalui platform pemesejan lain. Kami juga menggunakan maklumat anda untuk menghubungi kembali apabila anda menghubungi pasukan Sokongan kami atau untuk mengingatkan anda tentang mesej atau permintaan yang sedang menunggu untuk anda. Kami sendiri juga sepastinya tidak menyukai spam, oleh itu kami cuba mengehadkan e-mel dan mesej yang kami hantar.

Menguatkuasakan Terma & Dasar Kami

Kategori terakhir adalah undang-undang. Ini biasanya kategori yang paling membosankan, namun ia adalah kategori yang penting! Dalam sesetengah kes, kami menggunakan maklumat anda untuk tujuan undang-undang. Contohnya, apabila isi kandungan yang melanggar undang-undang disiarkan di Snapchat atau di salah satu perkhidmatan kami yang lain, kami mungkin akan perlu menguatkuasakan Terma Perkhidmatan kami dan dasar-dasar yang lain. Dalam sesetengah kes, kami juga mungkin menggunakan atau berkongsi maklumat anda untuk bekerjasama dengan permintaan penguatkuasaan undang-undang atau mematuhi kewajipan undang-undang kami. Lihatlah Laporan Ketelusan kami untuk mengetahui lebih lanjut.