Testimoni Kongres Senat oleh Evan Spiegel seperti yang Disampaikan

31 Januari 2024

Hari ini, pengasas bersama merangkap CEO kami, Evan Spiegel, menyertai platform teknologi lain dalam memberi keterangan kepada Badan Kehakiman di hadapan Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat. Anda boleh membaca keterangan lisan Evan yang lengkap yang dibentangkan di hadapan Jawatankuasa di bawah.

***

Pengerusi Durbin, Ahli Majlis Tertinggi Graham, dan ahli Jawatankuasa sekalian, terima kasih kerana mengadakan pembicaraan ini dan menggubal undang-undang penting untuk melindungi kanak-kanak dalam talian.

Saya Evan Spiegel, pengasas bersama merangkap CEO Snap. 

Kami mencipta Snapchat, sebuah perkhidmatan dalam talian yang digunakan oleh lebih 800 juta orang di seluruh dunia untuk berkomunikasi dengan rakan dan keluarga mereka. 

Saya tahu, ramai di kalangan anda yang telah berusaha melindungi kanak-kanak dalam talian sebelum Snapchat dicipta, dan kami berterima kasih atas dedikasi anda terhadap tujuan amal ini dan kesediaan anda untuk bekerjasama membantu mengekalkan keselamatan komuniti kita.

Saya ingin menghargai mangsa-mangsa yang terselamat daripada bahaya dalam talian dan keluarga yang berada di sini hari ini, yang telah kehilangan orang tersayang. 

Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa sedihnya perasaan saya, perkhidmatan yang kami reka cipta untuk memberi kebahagiaan dan kegembiraan kepada orang ramai telah disalahgunakan untuk membahayakan orang lain.

Saya ingin menjelaskan bahawa kami memahami tanggungjawab kami untuk membantu mengekalkan keselamatan komuniti kita.

Saya juga ingin menghargai pelbagai keluarga yang telah berusaha meningkatkan kesedaran tentang isu ini, mendorong perubahan serta bekerjasama dengan penggubal undang-undang berkenaan penggubalan undang-undang penting seperti Akta Cooper Davis, yang boleh membantu menyelamatkan nyawa.

Saya mula membangunkan Snapchat dengan pengasas bersama saya, Bobby Murphy, ketika saya berusia dua puluh tahun. Kami mereka cipta Snapchat untuk menyelesaikan beberapa masalah yang kami alami dalam talian ketika kami masih bergelar remaja. 

Kami tidak mempunyai media sosial alternatif. Ini bermakna gambar yang dikongsi dalam talian bersifat kekal, umum dan tertakluk kepada metrik populariti. Saya rasa itu tidak berapa bagus.

Kami membangunkan Snapchat dengan cara yang berbeza kerana kami inginkan suatu cara baharu untuk berkomunikasi dengan rakan, iaitu dengan pantas, menyeronokkan dan tertutup. Sekeping gambar menceritakan seribu kisah, maka dengan itu, orang ramai berkomunikasi melalui imej dan video di Snapchat. 

Kami tidak menampilkan sebarang suka atau komen terbuka apabila anda berkongsi Cerita anda dengan rakan. 

Snapchat secara lalainya bersifat peribadi, bermakna orang ramai perlu bersetuju untuk menambah rakan dan memilih orang yang boleh berhubung dengan mereka.

Semasa membangunkan Snapchat, kami memilih untuk memadamkan imej dan video yang dihantar melalui perkhidmatan kami, secara lalai. 

Sebagaimana generasi terdahulu yang pernah menikmati privasi panggilan telefon yang tidak dirakam, generasi kita telah mendapat manfaat daripada keupayaan untuk berkongsi detik melalui Snapchat yang mungkin tidak begitu sempurna namun menyampaikan emosi yang tidak kekal. 

Walaupun mesej Snapchat dipadamkan secara lalai, kami memberitahu semua orang bahawa imej dan video boleh disimpan oleh penerima. 

Apabila kami mengambil tindakan ke atas kandungan yang menyalahi undang-undang atau berpotensi berbahaya, kami turut menyimpan bukti untuk suatu tempoh yang lama, yang membolehkan kami menyokong penguatkuasaan undang-undang dan membantu mengenal pasti penjenayah yang bertanggungjawab. 

Untuk membantu mencegah penyebaran kandungan berbahaya di Snapchat, kami meluluskan kandungan yang disyorkan pada perkhidmatan kami menggunakan gabungan antara proses automatik dengan semakan manusia. 

Kami menguatkuasakan peraturan kandungan secara konsisten dan adil pada seluruh akaun. Kami menjalankan sampel tindakan penguatkuasaan kami melalui jaminan kualiti untuk mengesahkan bahawa kami melaksanakannya dengan betul.

Kami juga mengimbas bahan penderaan seksual kanak-kanak, kandungan berkaitan dadah dan jenis kandungan berbahaya yang lain yang diketahui secara proaktif, mengalih keluar kandungan tersebut, menyahaktifkan dan menyekat akaun yang menyinggung perasaan pada peranti, menyimpan bukti untuk penguatkuasaan undang-undang dan melaporkan kandungan tertentu kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan susulan.

Pada tahun lalu, kami membuat 690,000 laporan kepada Pusat Kebangsaan Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi, yang membawa kepada lebih 1,000 tangkapan. Kami turut mengalih keluar 2.2 juta keping kandungan berkaitan dadah dan menyekat 705,000 akaun yang berkaitan.

Walaupun tetapan privasi kami yang ketat dikuatkuasakan, usaha penyederhanaan kandungan dilaksanakan, pengesanan yang proaktif dan kerjasama yang wujud dalam penguatkuasaan undang-undang, namun kejadian buruk tetap boleh berlaku apabila orang ramai menggunakan perkhidmatan dalam talian. Itulah sebabnya kami percaya bahawa kanak-kanak di bawah umur tiga belas tahun belum bersedia untuk berkomunikasi di Snapchat. 

Kami amat menggalakkan supaya ibu bapa menggunakan alat kawalan keibubapaan tahap peranti pada iPhone dan Android. Kami menggunakannya di rumah kami sendiri dan isteri saya meluluskan setiap aplikasi yang dimuat turun oleh anak kami yang berusia tiga belas tahun. 

Untuk ibu bapa yang mahukan lebih banyak keterlihatan dan kawalan, kami telah membangunkan sebuah Pusat Keluarga di Snapchat yang membolehkan anda melihat orang yang berkomunikasi dengan anak remaja anda, menyemak tetapan privasi dan menetapkan had kandungan.

Kami telah bekerjasama selama bertahun-tahun dengan ahli Jawatankuasa perundangan seperti Akta Keselamatan Kanak-kanak Dalam Talian dan Akta Cooper Davis yang amat kami banggakan dan sokong. Saya ingin menggalakkan sokongan industri yang lebih luas terhadap undang-undang yang melindungi kanak-kanak dalam talian. 

Tiada undang-undang yang sempurna namun dengan adanya beberapa peraturan, itu lebih baik daripada tiada langsung.

Kebanyakan usaha yang kami lakukan untuk melindungi orang ramai yang menggunakan perkhidmatan kami tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan daripada rakan kongsi kami di seluruh industri, kerajaan, organisasi bukan untung, NGO, dan khususnya, penguatkuasa undang-undang dan responden pertama yang telah mendedikasikan hidup mereka untuk membantu menjaga keselamatan orang ramai. 

Saya amat berterima kasih atas usaha luar biasa yang ditunjukkan di seluruh negara kita dan di seluruh dunia dalam mencegah penjenayah daripada menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk melakukan jenayah.

Saya berasa amat bersyukur dengan peluang yang diberikan negara ini kepada saya dan keluarga saya. Saya rasa amat berkewajipan untuk membalas budi dan membawa perubahan positif dan saya juga bersyukur kerana dapat berada di sini hari ini sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang sangat penting ini.

Ahli Jawatankuasa sekalian, saya memberikan komitmen saya bahawa kami akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian keselamatan dalam talian ini. 

Kami akan bersikap jujur tentang kekurangan kami, dan kami akan berusaha untuk terus menjadi lebih baik.

Terima kasih dan saya bersedia menjawab soalan anda.

Kembali ke Berita